Monday 31 December 2007

SELAMAT TAHUN BARU KEPADA SEMUA

Mushroom Shack Industries ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua yang pernah melayari laman web syarikat kami. Insya Allah sama-sama kita berdoa agar tahun 2008 ini akan menjadi tahun yang penuh iltizam dan usaha bagi mencapai kejayaan berlipat ganda. Tinggalkan tahun 2007 sebagai pengalaman berharga dan pengajaran bagi kita dalam apa jua aspek. Bagi mereka yang mengecapi kejayaan pada tahun 2007, jadikan ianya sebagai pembakar semangat untuk kejayaan yang lebih gemilang di masa akan datang.

Mushroom Shack Industries sentiasa mengalu-alukan kerjasama dari sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Selamat Tahun Baru

Sunday 30 December 2007

KEBERSIHAN JADI KEUTAMAAN

Di dalam melalui proses penanaman cendawan seharian, aspek kebersihan perlu diberi keutamaan. Tiada kompromi untuk kebersihan. Perlu ada tempat-tempat yang dilabelkan sebagai zon bersih. Di dalam zon bersih ini pakaian pekerja, persekitaran dan tempat perlulah sentiasa bersih. Tempat seperti bangsal cendawan dan tempat menyuntik benih merupakan kawasan kritikal yang sentiasa perlu dibersihkan. Kegagalan memastikan kebersihan di tempat-tempat ini akan hanya mengundang bakteria-bakteria yang akhirnya merosakkan bongkah-bongkah cendawan. Tanpa disiplin terhadap kebersihan akan hanya membawa kerugian yang kadang-kala begitu besar kepada pemilik. Wujudkan jadual membersih harian mengikut waktu-waktu yang ditetapkan dan patuhi ketetapan jadual tersebut. Dengan cara ini sahaja kebersihan dapat dipastikan sentiasa diamalkan. Secara tidak langsung dapat mengurangkan peratusan kerugian syarikat.

Saturday 29 December 2007

Tips Memulakan Perniagaan

Bagi rakan-rakan yang ingin memulakan perniagaan dalam apa jenis industri sekali pun berikut adalah tips-tips yang boleh dijadikan panduan berguna :
1. Cari Info
Cari info sebanyak yang mungkin. Nak tau tentang pinjaman, tanya bank, nak tau pasal pertanian tanya Jabatan Pertanian. Pendek kata cari, korek pelbagai maklumat sebelum memulakan perniagaan. Bak kata orang kalau nak berniaga cendawan tu, pengetahuan tentang cendawan tu macam dah lama berniagalah.
2. Wujudkan Partnership dengan orang yang berpengalaman
Kalau boleh wujudkan partnership dengan orang yang dah lama berniaga. Kalau buat sorang-sorang lagi bagus. Bukan apa kalau partner orang berpengalaman ni kurang-kurang boleh tahu selok-belok berniaga. Kalau terpelecok pun ada back up cover.
3. Belajar cara nak buat akaun
Dalam perniagaan paling penting sekali untung rugi. Kalau tak tau macam mana nak buat akaun, belajar. Kalau tak tau macamana nak buat akaun macamana nak tau syarikat untung ke rugi.
4. Jangan cakap tak boleh sebelum mencuba
Kita selalu dengar orang cerita benda ni tak boleh, benda tu tak boleh. Jangan dengar. Pergi cuba dulu sebelum kata tak boleh.
5.Cari kawan bukan lawan
Cari kawan ramai-ramai. Jangan cari musuh. Walaupun pesaing.
Setakat itu sahaja, lain kali kita sambung.

Friday 28 December 2007

Bank dicadang letak syarat mesra alam dalam pinjaman perniagaan


KUALA LUMPUR 28 Dis — Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mencadangkan supaya bank tempatan meletakkan syarat mesra alam sebagai kriteria dalam setiap pemberian pinjaman untuk melaksanakan sesuatu projek.

“Bagi saya, semua bank tempatan perlu ada kesedaran untuk menjaga alam sekitar. Mereka seharusnya meletakkan syarat bahawa sebarang pinjaman untuk mana-mana projek dalam sebarang sektor perlu mesra alam sekitar,” kata menteri berkenaan, Datuk Seri Azmi Khalid.
Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada perkara itu boleh dilaksanakan kerana ia perlu turut mengamil kira kepentingan bank dan pelanggan mereka.

“Saya tidak tahu sama ada ia boleh (dilakukan) atau tidak, tapi jika boleh saya akan buat cadangan kepada kabinet,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Menanam Pokok Public Bank di sini hari ini.

Mengenai projek pemetaan kawasan banjir, Azmi berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran telah diminta melaksanakan tugas itu dengan segera.

Pemetaan itu katanya, akan membolehkan kerajaan mengkaji dengan jelas semua kawasan yang berisiko dilanda banjir, termasuk banjir kilat.

“Ia juga dapat membantu para pemaju mengenal pasti keadaan dan struktur kawasan yang ingin dibangunkan supaya tidak timbul sebarang bencana alam sekitar,” katanya.

Azmi berkata, satu pasukan petugas yang dipengerusikan oleh beliau sendiri telah ditubuhkan untuk mengkaji semua projek pembangunan, sama ada ia memberi impak kepada alam sekitar.
Pada majlis tersebut, Pengerusi dan Pengasas Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, bank itu membelanjakan RM1 juta untuk pembelian, penanaman dan penjagaan 20,000 batang pokok di kawasan tadahan air Seri Johor di Cheras di sini.

Katanya projek dua tahun itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia akan dijalankan dalam dua fasa dengan masing-masing melibatkan penanaman 10,000 pokok pada setiap fasa.- Bernama

Thursday 27 December 2007

KOS TERSEMBUNYI AWASSS!!!!

Seringkali di dalam perniagaan kita lupa tentang apa yang dipanggil sebagai kos tersembunyi. Ramai ahli-ahli perniagaan terutamanya mereka yang baru sahaja bergiat dalam bidang perniagaan alpa tentang kos teresembunyi. Kos yang tersembunyi ini pada peringkat akhirnya hanya akan merugikan peniaga walaupun pada asalnya nampak untung. Contohnya di dalam perusahaan cendawan, kita sering terkejar-kejar untuk mengadakan bongkah yang banyak agar pengeluaran harian akan bertambah. Namun begitu kurang kita sedari bahawa masa yang digunakan untuk membuat bongkah sudah tentu akan lebih panjang dan masa adalah KOS. Bayangkan jika bongkah dibuat secara manual. Masa yang panjang amat merugikan. Jumlah pekerja yang ramai untuk membuat bongkah adalah kos tambahan, gaji yang dibayar atau overtime yang dibayar merupakan kos tambahan. Jika mesin digunakan kos dapat dikurangkan.

Wednesday 26 December 2007

Graduan raih RM12,000 sebulan tanam cendawan

PASIR PUTEH 25 Dis. – Walaupun bergelar graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), namun Nor Sanusi Mahmud, 25 tidak menyesal memilih untuk menceburi bidang tanaman cendawan.
Keputusan bijaknya itu membolehkan beliau meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.
Tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakannya sejak tahun 2004 kini menghasilkan sehingga 70 kilogram cendawan setiap hari.

Nor Sanusi yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, sewaktu mula menceburi perusahaan itu, dia hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM28,000 sahaja.

Menurutnya, idea untuk terlibat dalam penanaman cendawan yang diusahakan di Kampung Telaga Papan di sini timbul setelah melihat sendiri kejayaan petani di Hatyai, Thailand.

Kata beliau, dia kemudian membuat keputusan untuk mencuba teknologi penanaman cendawan seperti yang dilaksanakan di Hatyai itu sehinggalah kini berjaya menjadi pembekal utama cendawan ke pasar borong seluruh Kelantan.

‘‘Bezanya kaedah yang digunakan ialah saya bina bangsal cendawan dari kayu pokok gelam, batang nibung dan atap rumbia seperti yang dilakukan petani di Hatyai.

‘‘Dengan kaedah ini kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membeli kayu dan atap asbestos yang semakin meningkat harganya seperti yang biasa dilakukan di negara ini,” katanya.

Tambah Sanusi, Pejabat Pertanian Pasir Puteh juga banyak membantu menjayakan projeknya dengan menyalurkan khidmat teknikal dan kepakaran termasuk kaedah penanaman yang sistematik.

‘‘Saya menjual cendawan ke beberapa tempat seperti Pasar Besar dan Pasar Borong Pasir Puteh dengan harga RM5.80 sekilogram.

‘‘Ia sudah cukup lumayan dengan pendapatan kasar sebanyak RM400 sehari,” katanya.
Beliau berkata, cendawannya mendapat permintaan tinggi bagi penghasilan masakan tomyam dan juga cendawan goreng yang diusahakan peniaga makanan di sekitar Kelantan dan sebahagian daerah di sempadan Kelantan dan Besut.

‘‘Saya sedia membantu usahawan baru khususnya belia lain yang berminat menceburi penanaman cendawan kerana prospeknya begitu baik ketika ini,” katanya.

Tuesday 25 December 2007

CONTOHI PERTANIAN DI JEPUN


Sektor pertanian di malaysia tidak dinafikan semakin berkembang dari sehari ke hari. Alhamdulillah berkat galakkan kerajaan sektor pertanian Malaysia kini boleh dibanggakan. Namun begitu salah satu negara yang boleh kita contohi ialah negara Jepun. Di Jepun pertanian dijalankan tidak kira di mana sekali pun. Pendek kata asalkan ada tanah kosong, mesti ada kegiatan pertanian dijalankan. Malahan di Tokyo yang sibuk sekalipun di tengah-tengah kota yang sibuk, kegiatan pertanian masih dijalankan. Biarpun tanah yang ada sekangkang kera di belakang rumah sekalipun. Semangat sebegini seharusnya dijadikan teladan yang baik kepada rakyat Malaysia. Jangan dijadikan alasan tanah tiada untuk menjalankan kegiatan pertanian.

Monday 24 December 2007

Kursus Penanaman Cendawan Siri 4 (26 Januari 2008) - Cepat Daftar

Asalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah Kursus Penanaman Cendawan Siri 1 dan Siri 2,3 telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insya Allah dalam jangkamasa terdekat ini Siri 4 akan dilaksanakan. Oleh yang demikian bagi individu yang berminat untuk sama-sama menyertai kursus ini bolehlah menghubungi En. Roslee Bin Abd. Rahman. No. Hp 0197666697. (24jam).

Terima kasih di atas sokongan semua.