Friday 28 December 2007

Bank dicadang letak syarat mesra alam dalam pinjaman perniagaan


KUALA LUMPUR 28 Dis — Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mencadangkan supaya bank tempatan meletakkan syarat mesra alam sebagai kriteria dalam setiap pemberian pinjaman untuk melaksanakan sesuatu projek.

“Bagi saya, semua bank tempatan perlu ada kesedaran untuk menjaga alam sekitar. Mereka seharusnya meletakkan syarat bahawa sebarang pinjaman untuk mana-mana projek dalam sebarang sektor perlu mesra alam sekitar,” kata menteri berkenaan, Datuk Seri Azmi Khalid.
Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada perkara itu boleh dilaksanakan kerana ia perlu turut mengamil kira kepentingan bank dan pelanggan mereka.

“Saya tidak tahu sama ada ia boleh (dilakukan) atau tidak, tapi jika boleh saya akan buat cadangan kepada kabinet,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Menanam Pokok Public Bank di sini hari ini.

Mengenai projek pemetaan kawasan banjir, Azmi berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran telah diminta melaksanakan tugas itu dengan segera.

Pemetaan itu katanya, akan membolehkan kerajaan mengkaji dengan jelas semua kawasan yang berisiko dilanda banjir, termasuk banjir kilat.

“Ia juga dapat membantu para pemaju mengenal pasti keadaan dan struktur kawasan yang ingin dibangunkan supaya tidak timbul sebarang bencana alam sekitar,” katanya.

Azmi berkata, satu pasukan petugas yang dipengerusikan oleh beliau sendiri telah ditubuhkan untuk mengkaji semua projek pembangunan, sama ada ia memberi impak kepada alam sekitar.
Pada majlis tersebut, Pengerusi dan Pengasas Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, bank itu membelanjakan RM1 juta untuk pembelian, penanaman dan penjagaan 20,000 batang pokok di kawasan tadahan air Seri Johor di Cheras di sini.

Katanya projek dua tahun itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia akan dijalankan dalam dua fasa dengan masing-masing melibatkan penanaman 10,000 pokok pada setiap fasa.- Bernama

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home