Monday 7 January 2008

SEKTOR PERTANIAN RUGI RM 50 JUTA AKIBAT BANJIR

PUTRAJAYA 7 Jan. - Kerugian yang dialami sektor pertanian akibat banjir besar yang melanda beberapa negeri bulan lalu mencecah RM50 juta. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan awal menunjukkan tanaman padi mengalami kerugian terbesar iaitu RM22.4 juta manakala tanaman-tanaman lain kira-kira RM20 juta. Menurutnya, bagi ternakan dan perikanan masing-masing mencatatkan kerugian sebanyak RM8.7 juta dan RM5.5 juta.

``Saya terima laporan itu hari ini dan akan membentangkannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negara dipergerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi. ``Jawatankuasa terbabit akan menghalusi laporan itu sebelum memutuskan jumlah peruntukan bantuan dan cara pengagihannya,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2008 kementeriannya di sini hari ini.

Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 28 Disember lalu diarah menjalankan bancian kerosakan pertanian akibat banjir bagi tujuan penilaian dan taksiran kerugian. Langkah itu bertujuan mengenal pasti bilangan petani yang terlibat dengan bencana tersebut yang melanda Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kedah dan Kelantan. Komponen pertanian lain yang terlibat dengan bancian kerosakan ialah buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan, ternakan ikan dan industri asas tani. Muhyiddin berkata, laporan bancian itu turut menyenaraikan seramai 16,164 petani di kawasan seluas 18,228 hektar mengalami kerugian akibat banjir besar itu.

``Kedah mengalami kerugian yang teruk dalam penanaman padi iaitu RM32 juta manakala Pahang pula dalam sektor ternakan iaitu mencecah RM7 juta. ``Dalam sektor perikanan pula, Johor mengalami kerugian sebanyak RM1.3 juta, Pahang (RM2.9 juta) dan Kelantan (RM1 juta),'' katanya. Sementara itu, beliau turut meminta petani yang mengalami kerugian akibat banjir supaya mengadakan perbincangan dengan Bank Pertanian secepat mungkin. ``Petani yang terlibat perlu berjumpa dengan pihak bank untuk menjadualkan semula pinjaman mereka,'' katanya.- Utusan

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home