Friday 4 January 2008

SISTEM PANTAU PROGRAM USAHAWAN DI PERKENAL

KOTA KINABALU 4 Jan. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan memperkenalkan sistem pemantauan bermula tahun ini bagi memastikan program melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera tercapai.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem tersebut akan diwujudkan di peringkat daerah, negeri dan pusat bagi menyalurkan maklumat mengenai perkembangan pelaksanaan setiap program yang dirancangkan.

‘‘Melalui sistem ini, kita akan melantik ahli jawatankuasa terdiri daripada semua agensi di bawah kementerian bagi memastikan setiap tanggungjawab dan amanah yang diberi dilaksanakan dengan berkesan.

‘‘Kementerian akan menjadi pemantau kepada sesuatu program agensi yang ada dengan meneliti aspek keberkesanan, kebaikan dan pencapaian setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Dengan Ketua dan Pegawai Agensi-Agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) Sabah di Hotel Pacific Sutera di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, melalui sistem baru itu juga, semua maklumat terkini akan disalurkan kepada bakal usahawan yang sedang mengikuti program atau kursus tertentu.

Katanya, sistem berkenaan berbeza dengan amalan yang dilakukan kementerian tersebut sebelum ini dalam menyemak dan memastikan keberkesanan sesuatu program.

‘‘Melalui pemantauan sebelum ini, ia lebih kepada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) tetapi kini, kementerian mahu melihatnya secara tepat dan jelas iaitu berdasarkan kepada keberkesanan dan pencapaiannya,” ujarnya.

Menurut beliau, kementerian akan mengukur pencapaian sistem itu dengan melihat jumlah usahawan bumiputera yang berjaya dihasilkan melalui pelaksanaan sesuatu program.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kementerian kini memberi fokus untuk melahirkan generasi kedua Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang bersifat global.

Jelasnya, golongan MPPB yang baru itu perlu berfikiran jauh dalam visi memajukan bidang perniagaan dan mempunyai cita-cita untuk berjaya sebagai usahawan di peringkat global.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada 1 Januari lalu, kementerian menubuhkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang akan meningkatkan peranannya dalam bidang yang lebih luas.

‘‘Suruhanjaya ini akan memikul tanggungjawab yang lebih besar, kalau dulu hanya tumpu pada penguat kuasa dan pelaksanaan peraturan, tetapi kini kita akan tingkat peranan dalam bidang keusahawanan yang lebih luas,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home