Thursday 3 January 2008

PKNS SASAR LAHIR 25 USAHAWAN BERWIBAWA SETAHUN

PETALING JAYA 2 Jan. – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), mengambil langkah proaktif untuk melahirkan 25 usahawan Bumiputera berwibawa setahun melalui beberapa program keusahawanannya.

Langkah itu akan dilaksanakan melalui pelbagai program seperti Vendor Inkubator Payung, Sub Kontraktor Bumiputera PKNS, Dana Pembelian/Penyewaan Premis Perniagaan, Program PERMATA, Skim Pejabat Inkubator PKNS dan Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PHASER), kata Pengurus Besarnya Datuk Harun Salim.

Program yang dilaksanakan diletak bawah Sekretariat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Bagi melaksanakan program yang dirancang itu, PKNS telah memperuntukkan RM2.08 juta tahun ini berbanding RM1.97 juta pada tahun sebelumnya manakala MeCD menyediakan bantuan dalam bentuk geran RM3.5 juta, katanya.

“PKNS komited dalam usaha melahirkan masyarakat usahawan dan pelbagai program telah disusun untuk mereka,” katanya dalam temu bual di sini baru-baru.

Melalui program Vendor Inkubator Payung, misalnya, Harun berkata, para usahawan yang mempunyai kilang bahan binaan akan dibantu dalam meluaskan pasaran dan meningkatkan kualiti produk masing-masing.

Sejak program vendor tersebut diperkenalkan pada 1995 sehingga 2006, seramai 23 usahawan telah dipilih dan dilantik untuk menyertai program itu.

Syarikat-syarikat tersebut bergiat dalam bidang pembinaan dan telekomunikasi yang menawarkan produk seperti cat, tangki air polivinil, batu bata tanpa bakar, pintu pagar serta wayar dan kabel.

“Setakat ini, nilai kontrak kerja yang ditawarkan kepada syarikat di bawah program vendor inkubator payung bernilai RM67.266 juta,” katanya.

Harun berkata, mulai tahun 2006, PKNS telah melaksanakan satu lagi program baru iaitu PHASER bagi membangun dan membimbing siswazah yang berpotensi untuk meneroka peluang perniagaan melalui pembelajaran dan pengalaman berniaga.

“Mereka akan dibimbing dalam tempoh enam bulan dan sepanjang tempoh itu, pelbagai pendedahan dan kemahiran berkaitan dunia perniagaan akan diberikan.
“Sepanjang tahun 2006 sahaja, seramai 30 siswazah telah dilantik di bawah program ini,” jelasnya.

Pada amnya, program usahawan PKNS melibatkan pelbagai golongan masyarakat, antaranya bakal usahawan, peniaga, siswazah sehinggalah kepada pelajar sekolah.

Sebagai pendedahan awal tentang bidang keusahawanan kepada para pelajar, program PERMATA telah diwujudkan oleh PKNS dengan kerjasama MeCD serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, kata Harun.

Antara lain, program ini bertujuan membentuk dan memupuk nilai-nilai keusahawanan di kalangan para pelajar sekolah di negeri Selangor.

Sejak 1998 hingga 2006, terdapat 51 buah sekolah dan seramai 8,150 orang pelajar telah terlibat dengan program ini, katanya.
– Bernama

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home