Saturday 5 January 2008

GUNA TEKNOLOGI TINGGI ELAK PEKERJA ASING

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Kementerian Sumber Manusia akan terus menggalakkan para majikan menggunakan teknologi lebih moden bagi meningkatkan daya saing dan mengurangkan penggunaan pekerja asing.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn berkata, langkah itu akan memastikan tenaga kerja tempatan yang lebih tinggi tahap kemahiran digunakan, sekali gus meningkatkan kualiti khidmat industri negara.

‘‘Jika kita terus bergantung kepada pekerja asing dengan membayar gaji yang rendah, kita akan sampai tahap tidak lagi boleh bersaing dengan negara-negara kaya tenaga buruh lain seperti Vietnam dan Thailand.

‘‘Kita perlu meningkatkan teknologi yang memerlukan pekerja tempatan berkemahiran tinggi bagi melahirkan ciptaan bertaraf antarabangsa dan lebih berdaya saing,’’ katanya pada sidang akhbar sempena pembukaan Pusat Pakar Mata Antarabangsa di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar akhir tahun lalu mengenai pembolotan kira-kira 20 peratus peluang pekerjaan baru yang wujud pada tahun ini ke tangan warga asing.

Chan Onn memberitahu, semalam beliau telah berdialog dengan majikan sektor perladangan untuk menggunakan pendekatan tersebut.

Menurutnya, penggunaan teknologi tinggi telah membuahkan hasil positif di Malaysia dengan syarikat seperti Motorola mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di sini dan ciptaan mereka digunakan di peringkat antarabangsa.

‘‘Ini merupakan contoh yang ketara dan saya mahu sektor-sektor lain mencontohinya,’’ ujar beliau.

Sementara itu, Chan Onn berkata, program Pengembalian Pakar Malaysia yang diperkenal pada tahun 2001 telah berjaya menarik kira-kira 500 pakar kembali ke tanah air.

‘‘Tahun lalu, kira-kira 100 pakar dari sektor perubatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta perakaunan yang kebanyakannya dalam lingkungan usia 30-an, telah kembali dari Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat serta Australia,’’ katanya.

Menurut beliau, program insentif itu akan diteruskan dan kajian akan dibuat untuk menambah aspek-aspek menarik bagi menjayakan hasrat kementerian menarik beribu-ribu pakar luar negara kembali ke negara.

‘‘Apa yang kita tidak boleh lakukan ialah memaksa majikan menaikkan gaji mereka yang kembali bekerja ke negara ini.

‘‘Namun, kita boleh menggalakkan mereka menggunakan pengalaman dan infrastruktur negara yang lebih murah bagi mengubah ibu kota menjadi pusat khidmat perubatan, pelancongan kesihatan serta ICT,’’ kata Chan Onn.

Pada masa depan tambahnya, kementerian mahu menarik pakar seni dalam bidang reka bentuk, fesyen dan teater.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home